Sunday, January 11, 2009

Tiada beza antara kita

Hati saya telah disakiti. Tak tahulah sama ada secara sengaja atau tidak, yang pasti, hati saya terasa amat sakit.

Begini ceritanya. Kelmarin saya cuma bekerja separuh hari, jadi separuh hari lagi saya luangkan untuk lepak bersama kawan-kawan. Kawan-kawan pula mengajak kawan-kawan mereka (saya tak kenal, baru first time jumpa). Kami pun mula berbual-bual kosong sambil menikmati minum petang. Macam-macam yang kami bualkan termasuklah kehidupan seharian, berat badan, beg tangan, kerjaya, kereta, pilihanraya di Terengganu dan isu semasa. Bila tiba bab isu semasa, saya mula tawar hati meneruskan perbualan selepas beberapa percubaan mencelah. Saya kemudiannya mengambil posisi 'aloof' tetapi tidak bertahan lama kerana provokasi terlalu kuat. Saya membayar harga minuman kemudian beredar balik ke rumah. Saya sakit hati.

Kenapa? Sensitif sangat ke? Jawapan saya ya, isu yang disentuh memang sensitif. Bagi saya, isu perkauman tidak perlu dibincangkan secara agresif. Sudah terang lagi bersuluh, ini memang isu yang sensitif. Saya anti perkauman. Saya tidak mengamalkan sikap perkauman. Saya menentang perkauman secara terbuka. Mungkin kawan-kawan kepada kawan-kawan saya tidak mengenali saya secara peribadi, itu saya maafkan mereka. Tetapi perbuatan mereka mencaci dan merendah-rendahkan kaum lain tanpa rasa bersalah, itu saya tidak boleh maafkan. Tidak sekali-kali. Kecuali, mereka merasa insaf dan menyedari sikap seperti itu merupakan resepi terbaik ke arah kehidupan huru-hara di Malaysia.

Seorang kawan kepada kawan saya mengutarakan pendapatnya tentang kempen memboikot barang-barang dan perkhidmatan Yahudi. Saya memahami tujuan asal kempen ini, saya juga tidak menyokong kejahatan dan keganasan yang dilakukan mereka. Bukan mereka sahaja, sesiapa yang membuat kejahatan, penindasan, pembunuhan, tidak kira lah siapa mereka dan apa alasan mereka, saya anti perbuatan mereka, bukan khusus kepada Yahudi sahaja.

Asalnya, saya tidak merasa berang dan sakit hati apabila kami menyentuh isu ini. Saya sendiri merasa tidak kisah meninggalkan Coca-cola kerana ia membahayakan kesihatan. Jika meninggalkan Coca-cola juga bermaksud saya mengatakan tidak kepada penzaliman, ya, mengapa tidak? Saya gembira melakukannya. Bila perbualan mula beralih kepada alasan yang lain iaitu isu kaum mereka, saya mula merasa resah. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu topik perkauman timbul kerana saya tahu pendirian saya bagaimana, saya tidak mahu pertemuan kali ini berakhir dengan kekesalan. Terlambat, ia sudah terjadi.

Kawan kepada kawan-kawan saya mencetuskan api kemarahan saya dengan melontarkan pandangan berat sebelah terhadap suku kaum di Malaysia. Perkara yang tidak baik tidak perlulah diulang berkali-kali, jadi eloklah jika saya tidak menyatakan secara spesifikasi apa yang telah dia katakan. Selepas ini mereka tidak akan lagi saya alu-alukan ke mana-mana 'port' lepak saya dan kawan-kawan.

Betulkan saya jika apa yang saya katakan ini salah. Tanah ini milik mutlak Pencipta kita, bukannya kaum-kaum yang dulu tiba di sini daripada kaum yang lain.

So what jika mereka tiba di sini lebih awal daripada kaum lain? Sama seperti mereka yang tiba awal, tiba lambat di sini bukannya satu pilihan kerana kita semua cuma menjalani kehidupan mengikut rencana hidup yang telah tertulis untuk kita. Mengapa perlu ada pihak yang ingin 'membolot' kesemua ruang dan peluang di sini dan menidakkan hak orang lain, hanya kerana mereka tiba awal di sini?

Kawan kepada kawan-kawan saya tadi mula merepek tentang betapa seharusnya kaum mereka dihormati oleh kaum lain. Bagi mereka, kaum lain adalah 'pendatang' yang telah merampas dan mencabuli hak-hak istimewa kaum mereka. Tempat di universiti-universiti, peluang pekerjaan, peluang perniagaan, semuanya didominasikan oleh bangsa 'yang tidak sepatutnya'. Selayaknya mereka balik sahaja ke tempat asal mereka. 'Pendatang' ini cuma datang membuat kacau di sini. Ada juga mereka sentuh tentang kepercayaan agama 'pendatang' ini, mereka memberi satu istilah lain tapi maaf, saya rasa ia menjijikkan dan tidak mahu menulisnya. Di sinilah kemarahan saya mula berapi. Mungkin bagi mereka, itu adalah pandangan peribadi, lahir dari hati. Mungkin pada mereka itulah yang mereka dengar setiap hari, itulah yang mentaliti yang diterapkan kepada mereka oleh orang-orang yang berpengaruh dalam hidup mereka. Jika itulah kesnya, saya tidak lah boleh terlalu menyalahkan mereka, mereka adalah mangsa budaya malas membaca. Makan apa yang disuapkan sahaja. Dengar apa yang hendak didengar sahaja.

Apa yang membuatkan saya tersinggung ialah pilihan mereka untuk mengamalkan mentaliti seperti itu. Jika inilah yang mereka akan 'lagukan' dan 'syairkan' kepada murid-murid mereka di sekolah ataupun anak-anak mereka sendiri, bayangkanlah kesannya. Saya kemudiannya mencelah dan menyatakan pendirian saya...tapi mereka bersatu tenaga dan membidas saya bertubi-tubi. Mereka juga mengatakan saya juga 'bumiputera', saya sepatutnya sedar ancaman ini. Saya akhirnya berdiam diri, bukan kerana saya bersetuju dengan mereka dan mengkhianati pendirian saya, tetapi kerana saya tahu perdebatan ini tidak akan ke mana. Hati mereka sudah bulat, mereka telah mengambil keputusan untuk mempercayai kehadiran bangsa lain telah menggugat hak mereka. Mereka menyesali kehadiran bangsa yang lain di sini.

Ada beberapa perkara yang membuatkan saya berfikir panjang. Pertemuan singkat saya dengan kawan-kawan kepada kawan-kawan saya mungkin juga telah membawa faedah kepada diri saya sendiri. Saya belajar perkara baru hari ini iaitu aras tahap paranoia insan-insan yang berjiwa lemah. Mereka sentiasa takut kehilangan tempat, takut ketiadaan peluang, takut persaingan, takut kepada segala-galanya! Kerana itu mereka melihat orang lain sebagai ancaman kepada mereka. Well, jika sekalipun mereka tinggal di Malaysia hanya dengan kaum mereka sahaja, mahu tak mahu mereka terpaksa juga bersaing untuk mendapatkan apa-apa peluang. Tak kan ada mana-mana organisasi di dunia ini yang sudi mengupah seorang yang gagal dalam pelajaran, kecuali organisasi itu 'bapak dia punya.' Tak percaya, cuba tulis dalam resume, Latar belakang pendidikan: 'tidak pernah ke sekolah', 'gagal semester akhir di universiti' atau 'tidak menamatkan pengajian'. Saya percaya resume itu akan terus menjadi penghuni tong sampah. Pada waktu itu, siapakah yang mereka akan persalahkan? Sesama kaum mereka kerana ada antara mereka yang lebih baik? Organisasi tersebut kerana hanya menerima yang terbaik? Jika mereka mempunyai kualiti dan kepakaran, mengapa takut? Mengapa perlu melihat orang lain sebagai ancaman jika kita memang berkelayakan?

Berkenaan susur galur bangsa-bangsa di Malaysia, saya berpendapat tidak payahlah terlalu mengenangkan masa lampau. Sejarah memang penting untuk dihayati dan diingati kerana dengan berbuat demikian, kita akan sentiasa ingat akan peristiwa-peristiwa yang menyebabkan kita mempunyai apa yang kita ada sekarang. Namun begitu, ada juga peristiwa yang kita perlu tinggalkan sebagai satu 'sejarah' dan menerima kesan peristiwa tersebut dengan positif. Untuk apa kita memarahi keadaan sekarang dan melukakan hati kawan-kawan kita atas kejadian pada beberapa puluh atau ratus tahun yang lepas? Jika kita marah dan kesal sekalipun, semuanya sudah berlaku. Itu bukan tempat kita untuk memperbetulkan peristiwa itu. Apa yang patut kita lakukan ialah mencipta 'sejarah pada masa hadapan' dengan baik agar anak cucu keturunan kita tidak akan menanggung kesan buruk dan menyalahkan kita atas perbuatan kita sekarang. Dalam bahasa kasar, to the hell where was their origin because they are here now and they are going to stay! Mereka telah lahir di sini, membesar di sini, hidup di sini, membayar cukai di sini, bukankah itu sudah cukup untuk mereka layak memanggil tempat ini sebagai rumah mereka? Kecuali bagi kes tertentu seperti mereka yang 'berenang' dari negara mereka dan masuk melalui jalan tikus, mereka inilah yang sepatutnya dipanggil 'pendatang'. Jelas sekali mereka inilah yang perlu dikecam kerana telah mencabul kedaulatan undang-undang negara kita. Mereka inilah yang harus dihantar pulang dan dikenakan tindakan yang wajar kerana lambat laun mereka akan menjadi liabiliti kepada negara kita.

Kumpulan kawan-kawan kepada kawan-kawan saya itu saya lihat sebagai cakap tak serupa bikin. Betapa berapi-apinya mereka berkempen memboikot Yahudi atas perbuatan zalim mereka tapi sedihnya sejurus selepas itu, mereka tanpa segan silu 'menzalimi' orang lain pula. Mereka tidak terfikir kah, agama dan pendirian adalah pilihan tapi dilahirkan ke dalam sesuatu ras kaum adalah kerja Tuhan, itu bukan satu pilihan. Menindas kaum lain samalah juga seperti mempersoalkan kerja Pencipta kita. Satu hal yang saya tidak faham, mereka tidak kenal pun siapa insan-insan malang yang dizalimi oleh para penjahat Yahudi, tetapi merasa sangat kasihan terhadap mereka kerana insan-insan tersebut menganut fahaman yang sama dengan mereka. Apabila bercakap tentang 'hal dalam kain sendiri' pula, wah, bukan main menghina dan memperlekehkan bangsa lain. Kebencian nampak sangat terserlah bila bercakap tentang kaum yang tinggal sama dengan mereka. Apa semua ni? Sekejap kata Yahudi zalim lah, menindas lah, laknat lah, tapi diri sendiri juga bersikap seperti itu.

Saya berharap mereka ini (kawan-kawan kepada kawan-kawan saya) cumalah 'kes terpencil' sahaja. Saya tidak percaya di zaman moden di mana semua orang mendapat pendidikan yang setara, masih ada juga yang tidak memahami nilai bertolak ansur, hormat-menghormati dan toleransi. Come on lah, hidup ini singkat dan hanya sementara. Rugi lah kita jika kita habiskan hidup kita mencari beza antara kita. Tiada beza antara kita. Akhirnya kita semua akan mati dan balik kepada Pencipta kita. Apa salahnya kita 'buta warna' jika itu boleh menyebabkan kita hidup rukun tanpa sengketa.

Sekali lagi, saya benci perkauman. Saya benci orang yang mengamalkan perkauman dan bila saya lakukan itu, tidak bermaksud saya membenci bangsa mereka. Saya cuma membenci individu itu sahaja. Screw you racist!!!!

*Sigh* Sori, saya selalu marah-marah kat sini. Esok saya tulis cerita happy pula ya.

1 comments:

Unknown said...

I agree with YOu..Saya juga SANGAT BENCI perkauman..saya mula tahu erti perkauman bila saya menjejaki kaki di "tanah besar" ini.Merosakkan minda betul orang2 di sini!
Di tempat saya.Semua orang aman.Berkawan dengan sesiapa tanpa ada syakwasangka..Terima orang dengan seada-adanya!
Perkauman sengaja di panaskan di sini untuk kepentingan Politik! Sangat DESPEREDO and JIJIK !