Friday, March 6, 2009

Hati Seorang Guru

Walaupun menjadi seorang pendidik tidak pernah menjadi cita-citaku, aku tetap melaksanakan tugasku dengan amanah. Aku cuba memberikan yang terbaik kepada anak didikku, tanpa mengira kepercayaan dan warna kulit mereka.

Semenjak bermula tahun ini, kerjaku semakin bertambah berat. Aku diamanahkan untuk mengajar subjek yang aku tidak mahir. Suka atau tidak, aku terpaksa menurut perintah. Kesabaranku sering kali teruji, bukan sahaja oleh murid-muridku, tetapi juga rakan-rakan sekerja dan pihak pengurusan.

Aku tidak mahu merungut. Aku tidak mahu melawan. Aku telan semua kepahitan cabaran menjalankan tugas sebagai seorang guru. Tapi aku tidak sabar bila kemampuanku dibezakan hanya kerana aku berasal dari sebuah negeri yang dulu reputasinya aku akui agak ketinggalan dari negeri-negeri yang lain.

Kenapa mereka tidak mahu mengakui itu semua sudah berada dalam lipatan sejarah? Zaman berubah, manusia juga berubah. Semuanya berubah. Kenapa mereka perlu menilai kemampuanku berdasarkan reputasi negeri kelahiranku? Bukankah setiap individu berbeza? Aku tidak kisah jika aku diadili, dengan syarat gunakan kayu ukur yang adil. Selama ini aku sudah pun membuktikan aku lebih dari mampu mengatasi kebolehan rakan-rakan yang lain. Kenapa mereka enggan mengakuinya?

Aku tidak suka kejujuranku bekerja dipertikaikan. Aku kenal diriku. Aku bukan manusia yang tergamak makan gaji buta dengan bermalas-malasan dan bekerja ala kadar. Tidak perlulah aku senaraikan apa pengorbanan yang aku telah lakukan selama ini, aku tidak pernah megah atas semua itu. Aku juga tidak pernah meminta pujian. Aku lakukan itu sebagai balasan nilai terhadap wang yang aku ambil daripada rakyat sebagai gaji bulanan aku. Ia juga didorong oleh keikhlasanku menurunkan ilmu pengetahuanku kepada bangsa Malaysia.

Semasa memandu balik dari sekolah, aku tidak sengaja terpilih saluran lagu klasik di radio keretaku. Sebelum sempat aku tukar, pengacara saluran itu memainkan satu lagu yang tidak kusangka membuatkan air mataku menitis.

Sungguh. Aku menangis bagaikan anak kecil bila mendengar tiap bait lagu itu. Lagu itu sudah agak lama, sering ditujukan pada insan-insan yang suka berkorban masa dan tenaga. Selama ini, aku mendengar lagu ini tanpa ada apa-apa perasaan yang istimewa. Tidak pernah membuat aku gembira, tidak pernah juga membuat aku sedih....sehingga pada pukul 7.05 petang tadi.

Aku sungguh tidak menyangka sebuah lagu boleh meruntun hatiku, menyusuk dalam perasaanku dan menyebabkan aku menangis bagai anak kecil yang ditinggalkan ibu. Sesampainya aku di rumah, aku terus mencari lagu itu di YouTube, kemudian memuat turun lagu tersebut ke dalam komputerku.

Walaupun kesedihan hatiku ini tidak membanggakan aku, itu tidak menyebabkan aku malu untuk memberikan kredit kepada kumpulan Pelangi untuk lagu mereka, Biarku Menjadi Lilin. Kerana lagu ini, sakit hatiku segera surut.

Biarlah aku menjadi lilin untuk seketika ini. Biarlah aku sakit membakar diri, asalkan sekelilingku terang benderang. Biarlah tiada siapa yang sedar, aku tidak mengharapkan balasan. Cukuplah jika aku berjaya mendidik anak bangsaku menjadi 'orang'. Selagi aku masih bergelar seorang guru, aku akan terus berbakti, tanpa dendam dan benci.




2 comments:

Unknown said...

"U lived your life Just like a candle in the wind" that's true!! Teacher suppose to be like that but now..??? for the sake of the works or GAJI..not all but some spoilt brats!!

Miss E said...

In today's competitive world, who doesn't, right?