Wednesday, November 19, 2008

Mimpi yang jahat

Terbayang-bayang dalam kepala tentang mimpi petang tadi. Walaupun cuma mimpi, tak tahu kenapa sampai menganggu emosi aku.

Tak sangka pula termimpi insan yang pernah aku sayangi satu masa dulu. Itu kisah lama, kami sekarang masing-masing sudah ada kehidupan sendiri. Dia sudah lama aku lupakan. Kalau jumpa di tengah jalan, belum tentu aku akan sapa dia.

Kami berpisah dalam keadaan marah-marah. Masing-masing mahu menunjukkan siapa lagi ego. Bodohnya aku pada masa itu. Ketika berpisah, aku menganggap aku cumalah salah seorang dari teman wanita sampingannya. Maklumlah, dia dianugerahkan dengan wajah yang tampan dan kerjaya yang berjaya. Aku cumalah seorang wanita biasa yang kini semakin lemak berkrim menyakitkan mata.

Aku tidak menyangka dia sebenarnya berusaha menjejaki aku sejak aku angkat kaki meninggalkan dia tanpa sepatah kata. Melalui social network yang aku sertai, dia menemui aku. Sejak dari hari dia menemui aku, dia sering kali menghantar pesanan mesra sehingga membuatkan aku rasa bersalah kepada monyet yang aku sayangi.

Aku akui, aku merasa teruja mendengar khabar darinya. Ya, aku pernah menyayanginya...tapi itu dulu. Dia kini tinggal dalam lipatan sejarah lama, aku tidak mahu lagi mengimbasnya. Pesanan-pesanan yang ditinggalkan aku biarkan tidak berbalas. Ada antaranya tidak kubaca. Timbul juga perasaan kasihan, apa salahnya berkawan. Mungkin niatnya baik, semata-mata ingin berkawan.

Dalam mimpiku petang tadi, aku bertemu dengannya di tempat kami mula berkenalan. Aku merasa sangat gembira berjumpa dengannya. Perasaan itu adalah sama dengan perasaan sewaktu kami masih lagi berkasih. Dalam mimpi itu, aku berpimpin tangan dengannya dan kami saling mengasihi.

Apabila aku terjaga, perasaan itu masih berbekas dalam hati. Tiba-tiba aku merasa rindu terhadapnya. Aku mahu bercakap dengannya. Aku mahu menatap wajahnya.

Setelah terjaga sepenuhnya, aku masih lagi merasa perasaan yang aku alami dalam mimpi. Aku mula bingung. Apakah maksud semuanya ini? Mungkinkah aku sebenarnya rindu pada monyetku yang berada jauh di mata, tetapi teralih kepada watak dalam mimpiku? Atau, mungkinkah benar aku merinduinya?

Beberapa jam yang lepas, aku membuka peti suratku dan membaca pesanan-pesanan yang ditinggalkannya. Aku teringin membalasnya...tapi aku rasa bersalah pada monyetku. Jika aku balas sekalipun, apa yang patut aku tulis?

Midget, don't be silly. Itu cuma mimpi! Mainan tidur semata-mata!

Urgh...mimpi yang jahat! Urggghhh!!!

Mungkin aku perlu tidur sekarang dan bermimpi tentang perkara yang lain.

0 comments: