Saturday, November 8, 2008

Lagi tentang sakit hati

Aku belum puas hati lagi merungut tentang sikap biadap bangsa Malaysia. Terus terang, aku berpendapat ramai bangsa Malaysia bukan sahaja biadap, mereka juga pengotor!

Aku tidak mahu bersikap pilih kasih dan menamakan kaum-kaum tertentu sahaja. Hakikatnya, semua bangsa Malaysia terlibat sama dalam perbuatan ini.

Dalam tulisan kali ini, aku akan menceritakan beberapa pengalaman bodoh aku berdepan dengan bangsa Malaysia yang biadap dan pengotor.

#1- Pengotor
Lokasi: LRT dari Stesen Universiti ke Stesen KLCC
Kejadian ini berlaku beberapa tahun dahulu semasa aku masih lagi bekerja di San Francisco Coffee sebagai barista. Outlet asal aku adalah Amcorp Mall tetapi pagi itu aku ditugaskan di KLCC membantu syif pagi. Dalam perjalanan menaiki LRT, seorang lelaki berpakaian kemas, mengenakan kot dan sepatu kulit yang berkilat duduk di sebelah aku. Mungkin kerana kebosanan, lelaki tersebut membuka beg komputer ribanya dan mencari-cari sesuatu di dalam begnya. Dia kemudiannya menemui apa yang dicarinya; sebiji gula-gula Hacks. Dia membuka bungkusan gula-gula tersebut, memasukkannya ke dalam mulut dan dengan selambanya membuang pembalut gula-gula tersebut ke lantai LRT. Melihat kejadian itu, darah menyirap ke muka aku!

Amboi, sedap kulum gula-gula? Kenapa pembalutnya buang ke lantai? Kasut awak berkilat, pakaian awak kemas dan bersih, kenapa nak kotorkan LRT?

"I believe this is yours".

Aku tidak sempat menahan diri daripada mengutip pembalut tersebut dan menyerahkannya kepada lelaki tersebut. Aku dapat melihat dari riak mukanya dia terkejut. Dia mengambil pembalut tersebut, membuangnya semula ke lantai dan menutup matanya, berpura-pura tidur. Aku baru ingin membuka mulut mencabar lelaki tersebut, LRT telahpun berhenti di stesen KLCC. Dengan hati sebal, aku mengutip pembalut gula-gula yang kini berada di dalam mulut lelaki tersebut dan menyelitkan ke dalam poketku.

Dalam hatiku berkata, "Perghh, bukan main kacak mamat ini. Sayang, pengotor!"

Mahu sahaja aku memijak sepatu kulitnya yang berkilat semasa melintasinya kemudian berlari sekuat hati ke pintu LRT. Tak sampai hati pula.

#2- Biadap
Lokasi: Putrajaya
Kejadian ini juga berlaku beberapa tahun dulu semasa aku mewakili kolejku dalam pertandingan kawad kaki kebangsaan di Kuantan, Pahang. Dalam perjalanan balik menerusi KLIA, kami singgah di Putrajaya untuk bersiar-siar dan mengambil gambar. Aku walaupun sudah pernah ke Putrajaya, aku belum berkesempatan melihat dengan lebih dekat lagi masjid yang menjadi salah satu tarikan Putrajaya. Aku mengambil keputusan untuk meninjau masjid tersebut. Sebelum masuk ke kawasan itu, aku diminta untuk mengenakan pakaian khas. Aku faham, masjid adalah tempat suci bagi penganut agama Islam. Aku menuruti sahaja syarat tersebut.

Semasa berjalan ke arah masjid, aku terlihat sebuah adegan menyakitkan mata antara pengawal keselamatan dengan sekumpulan pelancong Korea di hadapan pintu masjid tersebut. Tidak ingin masuk campur, aku memerhatikan gelagat mereka dari jauh. Daripada pengamatanku, pelancong-pelancong itu nampaknya seperti ingin memasuki ruangan masjid tetapi dihalang keras oleh dua orang pengawal wanita. Para pelancong sepertinya tidak berpuas hati kerana tidak mengetahui sebab musabab mereka dilarang masuk.

Di akhir adegan itu, dua orang pengawal keselamatan wanita tersebut berganding tangan menahan kemudiannya menolak kumpulan pelancong Korea itu daripada memasuki ruangan masjid. Dua orang wanita tersungkur. Pelancong Korea tersebut membuat banyak bunyi bising di dalam bahasa mereka sebelum beredar.

Aku yang tidak mengetahui hujung pangkal perkara itu kemudiannya memberanikan diri untuk bertanya kepada pengawal tersebut apakah yang sedang berlaku.

Salah seorang pengawal itu menjawab, "Dia bukan Islam, mana boleh masuk masjid. Kita dah kata tengok dari luar sahaja, dia tak faham-faham. Dia satu kumpulan nak rempuh masuk."

Oh, ini masalah komunikasi lah ni.

"Akak terangkan dalam bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris?" aku mengajukan satu lagi pertanyaan.

"Aku mana reti cakap Inggeris. Cakap Melayu lah. Tak kan dia tak faham 'TAK BOLEH' (sambil menunjukkan isyarat tangan tak boleh)," pengawal itu menjawab.

"Pelancong Korea manalah faham bahasa kita kak," aku cuba membela pelancong tersebut. Aku rasa sedikit malu pula, aku terbayang esok-esok pelancong tu balik ke kampungnya diorang bawa cerita ditolak sampai tersungkur di depan masjid Putrajaya.

"Awak siapa? Diamlah!! Kami cuma bekerja!!"

Tiba-tiba pengawal yang seorang lagi mengherdik aku. Aku tersenyum sumbing. Cis..aku pun dah terkena sama dengan pelancong tadi.

Memandangkan mereka lebih tua dariku, aku tidak membalas. Aku dididik untuk menghormati orang tua. Perlahan-lahan aku beredar dan berpatah balik ke gate hadapan. Aku tidak tahu kenapa tiba-tiba aku tidak berminat lagi untuk melihat masjid itu lebih dekat. Mungkin kerana aku menyaksikan dua orang pelancong Korea ditolak sehingga tersungkur di hadapan masjid, mungkin juga kerana aku kecil hati pengawal itu berkata "...bukan orang Islam, mana boleh masuk masjid." Aku bukan beragama Islam, sudah tentulah mereka akan menolak aku juga walaupun aku telah mengenakan pakaian khas sebelum masuk ke kawasan itu.

Semasa aku beredar keluar aku cuba mencari-cari tanda larangan "Bukan Islam dilarang masuk" tapi tidak kelihatan di mana-mana.

Dalam hatiku berkata, "Kalau ya pun bukan Islam tak boleh masuk, tak payahlah tolak sampai tersungkur dan mengherdik pelawat. Biadapnya!"

Pemandu bas kami yang melihat aku balik ke bas seorang diri 45 minit awal daripada masa yang ditetapkan menyapa aku.

"Adik tak nak bersiar-siar ke? Masa panjang lagi ni."

"Tak nak lah Encik. Tadi ingatkan nak melawat masjid tapi pengawal tu kata bukan Islam tak boleh masuk."

"Laa..boleh lah. Siapa kata tak boleh. Jom saya temankan."

"Tak apalah Encik, terima kasih. Saya nak baca buku dalam bas."

Selepas kejadian itu aku tidak berkesempatan lagi melawat Putrajaya. Namun sehingga ke hari ini aku masih tertanya-tanya kenapa masjid di Putrajaya dibuka kepada pelawat umum sekiranya hanya penganut Islam yang dibenarkan melawat? Dan mengupah pengawal yang biadap? Gee..


#3- Biadap dan Pengotor
Lokasi: Belakang rumah aku
Kejadian ini berlaku beberapa bulan yang lepas. Dijadikan cerita, setiap kali pergi dan balik dari kerja, aku melalui sebatang jalan di belakang rumah aku yang pada masa-masa tertentu akan dijadikan sebagai lokasi pasar malam. Di seberang jalan tersebut terdapat satu kawasan lapang, tidak pasti mengapa kawasan itu dibiarkan lapang. Tidak mengapa jika semata-mata dibiarkan lapang. Namun yang menyakitkan hati, kawasan lapang tersebut disalah gunakan oleh banyak pihak sebagai tempat pembuangan sampah.

Di tepi kawasan tersebut telah dipacakkan satu notis besar dan jelas menyatakan "Dilarang membuang sampah di sini. Denda RM500" tapi nampaknya notis itu cuma menjadi pak pacak kat situ kerana peniaga-peniaga pasar malam tidak mengendahkannya. Buta huruf agaknya. Sudah dapat duit hasil meniaga, buang sampah ke tempat haram.

Aku bising bukan kerana aku dengki. Aku geram kerana tempat itu adalah belakang rumah aku. Bila sampah bertimbun kat kawasan itu, tikus pun banyak bertandang. Kalau duduk sekitar sampah sahaja aku tak kisah tapi tikus ini ada kaki, lepas bongkar sampah pergi pula bersiar-siar dekat kawasan rumah orang. Dah berpuluh kali aku menjerit terkejut bila aku buka pintu belakang untuk meletakkan ikatan sampah ke dalam tong untuk dikutip. Tikus bermaharajalela di tangga belakang rumahku. Bila aku membuka pintu belakang, tikus-tikus itu panik dan berkeliaran menyembunyikan diri ke longkang-longkang yang berdekatan. Mujur saja tidak meluru masuk ke dalam rumahku. Untung aku memiliki 3 ekor kucing. Aku agak merekalah yang membunuh tikus-tikus yang aku jumpa tidak bernyawa di ruangan laundry aku.

Bukan masalah tikus sahaja, mata aku sakit memandang kawasan itu setiap kali pergi dan balik dari kerja. Bau busuk jangan ditanya, lebih dari menjolok tekak. Satu hari semasa aku melalui kawasan itu, aku terlihat seorang peniaga tengah 'melupuskan' sampahnya di situ. Aku terpanggil untuk menjalankan tanggungjawab sosialku iaitu menegur peniaga tersebut. Aku tahu dia salah seorang peniaga daripada beg duitnya yang diikatkan di pinggang dan pada masa itu, pasar malam sudah hampir tamat. Aku memberhentikan keretaku seraya menurunkan tingkap di bahagian penumpang hadapan:

Aku: Maaf Encik, di sini bukan tempat pembuangan sampah. Ada notis kat sana, "Denda 500 ringgit."

Peniaga itu menoleh sambil terus membaling bungkusan sampah ke kawasan itu.

Peniaga: "Cilakak lu, suka hati gua mah, ini sudah manyak olang buang, lu kepoh apa hal?"

Aku takut juga, manalah tahu dia baling pula sampah tu ke kereta aku.Begitupun, hati aku dah panas peniaga itu jerit 'cilakak' kepada aku.

Aku: You sudah dapat duit meniaga sini, tolonglah jaga kebersihan. Saya duduk sini, tikus banyak datang kacau.

Peniaga: "Woi, lu mau gaduh kah!!!" ~> Sambil mencapai sesuatu dan berjalan ke arah keretaku.

Aku terus memecut pergi sambil menjerit-jerit dalam hati.

Sampai ke rumah, aku terus membuka pagar dan menarik muka masam apabila suamiku mengusikku dengan memercikan air dari hos getah.

"Why, darling? You don't like it?"

"........"

Aku sebenarnya nak marah kerana aku baru saja menyelamatkan diri dari peniaga yang pengotor dan biadap itu. Aku perlukan kata-kata dorongan, bukan percikan air. Jika aku izinkan diriku untuk bercakap pada masa itu, aku pasti mulutku tidak dapat menahan segala jeritan dalam hatiku sebentar tadi. Tentu itu tidak adil kepada suamiku yang rajin menyiram bunga.

Aku masukkan kereta ke perkarangan rumah, mematikan enjin dan menggantikan kasut tumit tinggiku kepada selipar jepun. Aku kemudian menuju ke arah suamiku, merampas hos getah dan menyembur air ke seluruh badannya. Aku kemudian melarikan diri tapi sudah terlambat, Monyet itu sungguh pantas. Dia telah membalas serangan sebelum sempat aku masuk ke dalam rumah.

Well, better to be sprayed with water than beaten with sticks!


Bangsa Malaysia, marilah kita menjaga kebersihan diri dan alam sekitar. Warga Singapura, Indonesia mahupun Thailand tidak akan rugi jika negara kita kotor. Yang rugi hanya kita sendiri.Marilah juga kita mengamalkan sikap toleransi dan berhemah. Belajarlah seni bercakap agar kita boleh menjadikan tempat ini mudah untuk kita hidup bersama.

Jika kita tidak mahu orang lain bersikap biadap terhadap kita, jangan bersikap biadap terhadap orang lain.

Cikgu aku dulu pernah menasihatkan kami sewaktu perhimpunan sekolah. Katanya, to change something, we must change first. Dengan kongsian itu, aku menamatkan kisah pengalaman bodohku kali ini.

0 comments: