Saturday, November 8, 2008

Sakit Hati

Pagi kelmarin aku ke sebuah makmal hospital untuk menyerahkan specimen suamiku, seperti yang mereka kehendaki. Aku mengakui, aku telah terlewat 4 hari daripada tarikh sebenar temujanji. Aku yang tidak arif tentang selok belok rutin makmal hospital menyangka penghantaran specimen boleh dilakukan bila-bila masa kerana ia hanyalah specimen, tidak perlu berjumpa dengan doktor pun.

Bukan mudah untuk aku mendapatkan specimen ini. Suamiku terpaksa bekerja di luar daerah saban minggu. Jika bertuah, dia akan berkesempatan pulang ke rumah pada pada hujung minggu. Itupun, dia terpaksa bertolak semula ke tempat kerja pada petang hari Ahad. Walaupun menghasilkan specimen tidak menjadi masalah, penyerahan tidak dapat dilakukan kerana makmal tidak beroperasi pada hujung minggu. Mahu atau tidak, temujanji terpaksa diabaikan. Aku pernah bertanya bolehkah dia mengambil satu hari cuti untuk tujuan tersebut. Jawapan yang diberikan menghampakan, tapi aku faham, sekiranya dia tidak datang bekerja, kos yang terpaksa ditanggung adalah terlalu tinggi. Bukan kerana gajinya ditolak, tetapi kos operasi mereka terlalu tinggi. Dia tidak boleh mengambil risiko meninggalkan tempat kerja kerana pengalaman lepas telah membuktikan pekerja-pekerjanya tidak boleh diharapkan. Seminit sahaja kelalian seperti tempoh hari akan mengakibatkan kerugian tenaga dan wang beratus ribu ringgit. Sebagai pengurus projek, apa-apa yang berlaku di tapak projek adalah di bawah tanggungjawab suamiku. Jika berlaku lagi kerugian seperti yang lepas, suamiku tentu akan kehilangan kerja. Justeru, aku akur.

Memandangkan dia akan meninggalkan negara untuk satu jangka masa yang panjang, aku mengambil keputusan untuk menghantar specimennya pada pagi sebelum dia bertolak. Ini kerana dia cuma balik ke rumah pada malam sebelum dia bertolak, tidak ada kesempatan lain untuk berbuat demikian.

Sebaik tiba di makmal, aku menyerahkan specimen kepada seorang kakitangan lelaki yang sebelum ini mengaturkan temujanjiku. Aku kemudiannya meminta jasa baiknya untuk memberikan aku time slip untuk membuktikan aku telah datang ke makmal tersebut. Secara peribadi aku tidak memerlukan slip tersebut tapi ketuaku menegaskan aku perlu menunjukkan bukti aku lewat datang bekerja kerana sebab yang sah. Aku memahami tujuannya, dia cuma menjalankan tugasnya.

Sementara kakitangan makmal itu menyediakan time slip, kakitangan yang lain datang mengutip sampel tersebut. Ini merupakan perbualan antara kami:

Kakitangan A: Tunggu apa ek?

Aku: Tunggu time slip.

Kakitangan A: Ini awak punya ke? (Menunjukkan specimen suamiku)

Aku: (Amused) Tak, itu suami punya.

Kakitangan A: (Mendengus kasar) Tahu lah! Kenapa hantar hari ini?

Belum sempat pun aku jawab, datang kakitangan B.

Kakitangan B: (Bertanya kepada kakitangan A di hadapan aku) Dia hantar hari ni ke? Eh, kenapa hantar hari ni?

Kakitangan A: Ntah! Menyusahkan orang je!

Aku: .....................

Aku: Erm, excuse me, what is going on?

Kakitangan A: (Dalam nada hampir berbisik kepada Kakitangan B tapi sangat kuat dan tanpa memandang aku) Malas ah nak layan. Tak pasal-pasal kene buat keje.

Kakitangan B: (Lalu depan aku sambil menjeling)

Aku merasakan telingaku berdesing dan jantungku berdetak kencang. Hello? Bila masa pula aku tiba di Petaling Street, dikelilingi oleh peniaga yang kurang ajar dan tidak berpelajaran? Ingatkan aku berada di makmal hospital..

Aku ingin bertanya lebih lanjut dan mendapatkan penjelasan tetapi tiada seorangpun yang melayanku. Yang ada cuma bibik-bibik makmal yang asyik mecebik-cebik kat aku. Kalau ikutkan panas baran aku, dah lama aku bertempik marah kerana bibik-bibik makmal itu sungguh biadap. Adakah patut aku yang bukan bibik makmal ini dimarahi tanpa mengetahui sebabnya, selepas itu ditinggalkan tanpa berpeluang menjelaskan keadaan aku?


Ya, bibik-bibik itu berhak marah jika aku merosakkan peralatan makmal mereka, tapi aku tidak berbuat apa-apa. Aku cuma datang menyerahkan specimen dan berdiri menunggu time slip di luar pejabat.

Akhirnya, seorang kakitangan lain datang kepadaku, juga dengan muka bengang.



Kakitangan C: Puan, kenapa hantar sampel hari ni? Kami buat pada hari Isnin dan Khamis saja!

Aku: Maaf cik, sebenarnya...

Kakitangan C: Awak tak tengok temujanji ke? Kenapa tak patuhi temujanji?

Aku: Sebenarnya Cik, ...


What!! Aku belum pun menghabiskan ayatku, bibik yang ini pun dah blah sambil menunjukkan isyarat badan yang tidak puas hati. Rupanya dia datang untuk memarahi aku sahaja.


Belum habis lagi. Mereka dengan nada kuat berbincang sesama mereka. I was like, hello..? I'm still here. There's no even thin wall here, if you don't know that.


Bibik A: Jadi kene buat lah ni. Shesh!

Bibik C: Ape lah, kan ade temujanji. Dah menyusahkan orang.

Bibik B: Tak payah buat aa. Buat tak tau je!

Dan banyak lagi perbualan mereka yang membingitkan telinga aku. Nak saja aku datang ke meja mereka dan menampar mereka satu persatu. Biadap sungguh bibik-bibik makmal itu.

Aku mengakui aku salah, aku dah lewat menghantar sampel. Aku juga tidak mengetahui rutin mereka. Yang aku tahu, suamiku berada di luar daerah pada hari temujanji dan sekembalinya ke rumah, dia akan bertolak ke luar negara keesokkan harinya. Sebab itulah aku menghantarnya hari tersebut.

Susah ke untuk menjelaskan kepadaku mereka tidak dapat menerima specimen pada hari tersebut? Bagitau lah baik-baik, hari itu bukan hari memproses specimen jenis itu. Tentu aku dengan rendah hati merasa segan dan akan meminta maaf berulang kali. Aku juga bersedia untuk menerima tarikh baru untuk menghantar specimen. SUSAH SANGAT KE? Perlukah mereka menarik muka masam dan bersikap biadap? Perlukah mereka membentak-bentak dan menyakitkan hati pelanggan mereka? Hey, aku boleh saja mengamuk di situ dan mempertikaikan etika kerja mereka. Tapi jika aku berbuat demikian, apa bezanya aku dengan mereka?

Inilah salah satu sikap orang Malaysia yang aku tidak faham. Mengapa ramai bangsa Malaysia yang biadap, tidak berbudi-bahasa? Bibik-bibik makmal ini bukanlah orang pertama yang aku jumpa bersikap begini. Pemandu bas, pemandu teksi, pekerja imigresen, doktor, guru, kerani, penjaga tandas, pengawal keselamatan, kakitangan bank dan tidak ketinggalan juga orang awam, semua golongan dan lapisan masyarakat pasti ada yang bersikap biadap. Sikap biadap bangsa Malaysia ini memang sangat ketara sehinggakan kerajaan Malaysia terpaksa mengadakan kempen budi bahasa, siap dengan lagu yang dinyanyikan oleh Siti Nurhaliza. Sampai begitu sekali kroniknya tahap kebiadapan bangsa Malaysia.

Mujurlah kakitangan lelaki yang menyambut kedatanganku tadi keluar dari pejabatnya dan menghulurkan time slip yang aku minta. Jika lebih lama lagi aku mendengar perbualan biadap bibik-bibik tersebut, aku mungkin hilang sabar. Aku segera menjelaskan kepadanya tentang hal kelewatanku menghantar specimen dan bersedia mengambil tarikh baru jika hari itu tidak sesuai untuk mereka memproses specimen. Dia dengan muka manis dan bersopan menyatakan tidak perlu bimbang, sepatutnya kelewatan itu tidak menjadi masalah dan aku tidak memerlukan tarikh baru untuk menghantar specimen. Dengan adab seperti itu, sekalipun dia beri tarikh baru tiga bulan atau setahun dari sekarang pun aku tak sakit hati.
Sebelum menghidupkan enjin kereta, aku membelek time slip yang aku perolehi dari makmal tersebut. Ia ditandatangani oleh kakitangan lelaki tadi. Daripada nama dan cop rasminya, aku dapat mengetahui dia berasal dari Sarawak. Wajarkah aku mengatakan 'Ohh.. patutlah berbudi berbudi bahasa?'

Tak seperti bibik-bibik tadi yang cuma nampak mukanya tapi hatinya terpampang jelas, busuk bernanah!

0 comments: