Sunday, November 2, 2008

Mendewasakan atau membinasakan?

Ada beberapa perkara penting yang telah aku pelajari semenjak 'terjebak' di kancah penulisan blog. Sebelum ini, kerakusan melanda seorang 'midget' sehingga sanggup mengendalikan lebih daripada tiga blog sekaligus. Akibatnya, dia akhirnya menyerah kalah kerana masa tidak mengizinkan dia mengurus kesemua blog-blog tersebut. Pelajaran pertama; kerakusan menjanjikan kekecewaan.

Semenjak aku memiliki akaun blog, aku merasakan beban tekanan kerja dan peribadi seakan-akan hanya mengambil masa yang singkat untuk meninggalkan aku. Mengapa? Kerana aku meluahkan semuanya di dalam tulisan aku. Merasa marah? Kecewa? Penat? Geram? Suka? Teruja? Tiada masalah. Pulang ke rumah, luahkan ke dalam blog. Marah lah semarah-marahnya, jeritlah sekuat-kuatnya. Tidak perlu risau, tiada orang yang tercedera. Semuanya hanya tulisan. Tidak perlu mencetuskan kekecohan di tempat kerja mahupun di rumah. Tulislah di blog, tentu mendapat kelegaan segera. Senang, bukan? Tapi tunggu! Tidak semudah itu. Tulisan di blog boleh di capai di serata muka dunia. Orang di luar boleh membaca dan menghakimi aku berdasarkan tulisan, walaupun tulisan itu tidak ditujukan kepada mereka. Mereka boleh mengunakan tulisan tersebut untuk menjatuhkan aku. Mereka menyalin tulisan tersebut dan menyebarkannya menerusi papan forum mahupun blog mereka sendiri. Mereka mengulas, mengulas, mengulas dan terus mengulas tulisan tersebut. Mereka kemudiannya mereka-reka kesinambungan tulisan tersebut. Seterusnya, dengan segenap hati mereka mempercayai apa yang mereka reka. Lebih teruk lagi, ada manusia yang menjadikan hal-hal yang aku tulis di dalam blog sebagai modal untuk dia menulis. Segala tulisan aku dianalisa dan di akhir tulisannya, sudah tentulah menegaskan bahawa setelah DIHAKIMI, aku ternyata seorang penjahat yang menganggu sistem kehidupan orang lain. Selayaknya aku dicaci dan dihamun lantaran pendapat dan perasaanku terhadap perkara yang berlaku setiap hari di dalam hidupku. Jahatkah aku? Ya. Aku memang jahat. Tulisan jujurku telah menganggu orang lain. Pendapatku menyakitkan. Aku mencarut dalam tulisanku. Tapi bukankah mereka yang menghakimi aku juga melakukan perkara yang sama? Sekurang-kurangnya aku tidak menimbulkan unsur-unsur hasutan dan fitnah di dalam blog aku. Pelajaran kedua; 'privacy' tidak terjamin di dunia siber.

Aku mengambil keputusan untuk menamatkan akaun blog terdahulu dan beralih ke sini. Walaupun tahu aku terpaksa bermula dari awal tapi satu perkara, aku boleh memulakan alam penulisan blog aku sekali lagi tanpa prejudis dari mana-mana pihak. Aku sebenarnya gembira berblog kerana menerusi blog aku dapat berhubung dengan rakan-rakan aku yang jauh di mata, jauh di peta. Aku merasa teruja membaca tulisan tentang kehidupan harian mereka. Rasanya seperti mereka cuma berada di sebelah rumah. Jarak dan waktu sudah tentu tidak dapat menyatukan kami secara fizikal. Syukurlah, blog mempunyai jawapan terhadap masalah jarak ini. Di samping itu, blog bukan saja mempertemukan aku dengan sahabat lama yang telah terputus hubungan, sahabat baru juga bertambah. Pelajaran ketiga; sentiasalah bersikap positif. Setiap perkara ada baik dan buruknya. Terimalah dengan sikap terbuka.

Kesimpulannya, blog boleh membinasakan, boleh juga mendewasakan aku. Membinasakan kerana tidak semua orang sukakan aku atau tulisanku. Mereka dengan liciknya menggunakan tulisanku sebagai senjata untuk membunuhku. Mereka menjadikan blog mereka sebagai platform untuk melakukan 'penghakiman haram'. Mendewasakan kerana dari sini aku dapat belajar mengenali lebih dalam sikap manusia. Selain itu, aku juga belajar seni bercakap. Bukan semua perkara boleh aku cakap lepas. Kadang-kadang ada perkara yang aku perlu simpan untuk diriku sendiri biarpun menyakitkan. Jika tidak berbuat demikian, ia bakal mencipta drama yang meributkan.

Sesungguhnya menulis blog ini bukan mudah. Ia satu seni yang perlu dikuasai, bukannya semata-mata tempat untuk menjerit marah dan menyalak-nyalak seperti anjing yang kecewa. Itu merupakan pelajaran yang keempat, kelima, keenam hingga yang keseribu...

0 comments: