Sunday, November 2, 2008

Bahagiakah Aku?

Semenjak dua menjak ini kehidupan rumahtanggaku tidak teratur. Pekerjaanku menuntut terlalu banyak masa dan tenaga. Apabila aku pulang ke rumah, aku cuma ingin membersihkan diri dan tidur. Keesokan paginya, aku mengulangi semula rutin tersebut.

Suamiku kini terpaksa bekerja di luar daerah dan cuma pulang ke rumah sekali seminggu. Bebanan kerjanya sangat berat dan memenatkan. Tekanan kerjanya juga terlalu kuat. Aku merasa kasihan, tapi apakah yang boleh aku lakukan? Aku cuma mampu menjadi pendengar setia luahannya walaupun kadang-kadang, aku terlalu penat untuk mendengar. Tidak mengapalah, aku kan isterinya. Bukankah aku telah berjanji untuk bersamanya di masa senang mahupun susah?

Bahagiakah aku dengan kehidupan yang serba kelam kabut ini?

Ya, aku bahagia. Kebahagiaan tidak semestinya bermaksud bercuti di pusat peranginan terkenal dan berbalas renungan di bawah cahaya lilin. Kebahagiaan juga tidak semestinya bermaksud wang yang banyak dan bergelak ketawa sepanjang masa. Kebahagiaan boleh juga datang bertandang semasa sepasang suami isteri berada di dalam kesukaran. Kebahagiaan lebih manis rasanya apabila sepasang suami isteri berjaya melalui sesuatu kesukaran bersama-sama. Siapa kata kebahagiaan cuma untuk pasangan yang bebas dari masalah?

Walaupun ketika ini kami berada di bawah tekanan pelbagai masalah, aku tetap merasa bahagia. Aku lihat wajah suamiku dan aku faham, dia tidak mempunyai jawapan bagi setiap persoalan. Namun aku tahu, dia tidak akan melepaskan genggaman tangannya dari tanganku. Cuma itu yang aku perlu tahu. Itu sudah cukup membahagiakan aku.

Oh, kami membuat keputusan kami tidak lagi memerlukan rumah yang begini besar. Cukuplah rumah setingkat dengan tiga bilik dan porch yang boleh memuatkan dua buah kereta.

Sekiranya ada yang ingin menawarkan rumah single storey di Taman Pulai Utama atau Taman Pulai Flora, sila hubungi aku. Rumah diperlukan pada awal bulan Disember. Aku telah mencuba selama dua minggu untuk mencari rumah namun gagal menemui yang bersesuaian.

Mungkin aku perlu berdoa lebih kuat lagi.

1 comments:

Anonymous Queen said...

My dear Midget,

Never cease to pray dear, and think positive all the time. When you are feeling down, just say a prayer and have some hope in your days. Keep blogging darling! :P